Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hasil pemantauan penguat kuasa mendapati lambakan minyak peket itu di negara jiran yang bersempadan dengan Kelantan bukannya berasal dari negeri ini.

Menurutnya, perkara tersebut turut dikesan di depan mata beliau sendiri ketika lawatan kerjanya di kawasan sempadan Kelantan hari ini dan perlu dibanteras segera.

“Kita dapat mengesan minyak peket yang mudah diperoleh di selatan Thailand itu, bukan minyak peket yang dikeluarkan pembungkus berlesen di negeri ini, sebaliknya dikeluarkan pembungkus berlesen dari negeri lain.

“Kita tahu jumlah rakyat Kelantan dan formula tertentu untuk mengawal pengedaran dalam negeri ini, tetapi bagaimana minyak peket dari luar Kelantan sampai juga walaupun bekalan di sini sudah cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Youngpreneurs Go! anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Politeknik Kota Bharu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihak kementerian sedang menjalankan siasatan lanjut sebelum mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang terlibat dengan kegiatan menyeludup minyak masak bersubsidi tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan dari negeri mana minyak peket itu berasal serta anggaran jumlah minyak masak yang berjaya diseludup keluar ke selatan Thailand. - UTUSAN ONLINE