Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, mengikut pembaharuan diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), setiap MPKK yang menggantikan peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bakal dianggotai 16 individu.

Katanya, daripada jumlah itu, 11 ahli dilantik oleh kerajaan negeri manakala lima lagi akan dipilih kerajaan Pusat.

"Kita terima kerjasama baik kerajaan negeri walaupun ada tambahan lima individu yang dilantik kerajaan Pusat. Ini satu bentuk kerjasama Pusat dan negeri demi kepentingan rakyat.

"Lantikan MPKK ini berkuatkuasa 1 Januari 2019. Di Kelantan, ia melibatkan 681 kampung," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Rina memberitahu, setakat ini pihaknya masih menunggu senarai akhir individu yang dilantik kerajaan negeri.

Katanya, sebaik sahaja senarai MPKK setiap kampung lengkap sepenuhnya, pihak kementerian merancang mengadakan kursus wajib untuk mereka bagi memantapkan ilmu berkaitan pengurusan dan pentadbiran kampung.

"Modul kursus ini melibatkan pengurusan dan pentadbiran kampung serta hal-hal ekonomi, keceriaan dan kesejahteraan di kampung-kampung," katanya.

Rina turut memberitahu, antara perkara turut dibincangkan beliau dalam pertemuan kira-kira sejam bersama Ahmad ialah bagaimana kerajaan Pas Kelantan boleh membantu kementerian melaksanakan projek pembangunan terutama di wilayah kendalian Lembaga Kelantan Selatan (Kesedar). - UTUSAN ONLINE