Penganalisis isu Rohingya dari Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd. Mohiyuddin Mohd. Sulaiman berkata, kerajaan Myanmar boleh menimba pengalaman beberapa negara ASEAN seperti Thailand, Filipina dan Indonesia dalam menangani isu serupa.

Menurut beliau, rundingan damai merupakan pendekatan yang digunakan untuk konflik yang melibatkan umat Islam di tiga negara terbabit.

“Semua pihak yang terlibat mesti berunding dan bersemuka untuk mencari jalan penyelesai­an terhadap krisis ini.

“Jika masalah di Aceh, selatan Filipina dan selatan Thailand boleh diselesaikan dengan cara itu, mengapa pula Myanmar tidak boleh belajar daripada pe­ngalaman negara-negara serantau,” katanya dalam program bual bicara Sembang Online Utusan di bilik operasi Utusan Malaysia pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Mohd. Mohiyuddin berpandangan, selain bantuan kewang­an, masyarakat Islam Rohingya dan etnik Rakhine yang beragama Buddha di Arakan amat memerlukan sumbangan dari segi pendidikan.

Beliau memberitahu, bantuan seharusnya disalurkan secara adil kepada penduduk miskin di wilayah tersebut tanpa mengira latar belakang agama dan etnik mereka.

“Kita perlu memikirkan perasaan orang Rakhine kerana mereka juga miskin,” jelasnya.