Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, masalah itu adalah global, bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di negara-negara lain juga.

Perkara itu turut diakui oleh Pasukan Pakar Sekolah Antarabangsa dan Pendidikan, Jabatan Perdagangan Antarabangsa Uni­ted Kingdom, Vipul Bhargava yang turut berucap pada Pa­meran Teknologi Pendidikan Dunia (BETT) 2017 itu.

Katanya, susulan itu kementerian tidak berdiam diri dan mengambil inisiatif untuk me­ningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknologi digital bagi mencapai matlamatnya.

Menurutnya, antara usaha itu ialah melengkapkan sekolah-sekolah awam di Malaysia dengan akses Internet 4G dan Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE).

“Untuk memastikan capaian boleh diperoleh sepenuhnya, kementerian konsisten melaksanakan capaian pemetaan untuk mengenal pasti isu berkenaan bagi memudahkan melaksanakan pengajaran kondusif dan persekitaran pembelajaran yang dibantu oleh teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Selain itu, kombinasi guru yang pakar dalam teknologi digital dan peralatan mengajar terkini dengan bantuan ICT mampu mewujudkan kelas abad ke-21 yang lebih berkualiti dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT),” kata­nya ketika berucap sempena melawat BETT 2017 di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin.

Mahdzir turut berkesempatan menonton persembahan peralatan pendidikan terkini, iaitu kaedah hologram yang mana seorang guru boleh mengajar lebih daripada sebuah kelas dalam satu masa.

Beliau juga melawat beberapa buah gerai pameran bagi meninjau peralatan pendidikan terkini yang boleh diadaptasi di sekolah di Malaysia.

Menurut Mahdzir, dalam menyediakan pelajar untuk menjadi mahir dalam dunia globalisasi pula, kementerian bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Di­gital Malaysia (MDEC) dalam Digital Maker dengan tujuan melatih guru dengan kemahiran pengkodan.

“Pengkodan akan secara rasminya akan dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran bermula tahun hadapan.

“Ini adalah satu inisiatif untuk menggalakkan pelajar mengambil bahagian sebagai pembuat teknologi dan bukannya sekadar pengguna selaras dengan KBAT,” katanya.