Timbalan Perdana Menteri menegaskan, penggubalan itu sama sekali bukan untuk menutup sebarang ‘kebenaran’.

Beliau secara sinis mempersoalkan adakah `kebenaran’ bagi pihak berkenaan adalah berita-berita palsu yang disebarkan se­perti semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Apakah kebenaran (bagi Pakatan Harapan)? Adakah ‘kebenaran’ seperti diperkatakan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 melibatkan dakwaan 40,000 warga Bangladesh dibawa ke negara ini? Apakah itu bukan be­rita palsu? Adakah ‘kebenaran’ itu yang akan dibawa sekali lagi oleh mereka?”

“Akan ada berita-berita palsu pada saat-saat akhir strategi kempen... saya sangat pasti,” katanya kepada pemberita selepas menyem­purnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) tidak seburuk Pakatan Harapan.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini yang ‘khuatir’ tentang cada­ngan undang-undang terhadap berita palsu dengan mengatakan ia undang-undang ‘baik’ tetapi tidak boleh digunakan untuk menutup kebenaran.

Sebelum ini beberapa pihak termasuk ahli akademik melahirkan kebimbangan mengenai penularan berita palsu di negara ini termasuk mencadangkan kepada kerajaan supaya mengguna pakai peruntukan yang terdapat dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dalam mena­ngani ancaman tersebut.

Ancaman itu bukan sahaja dihadapi oleh negara ini, malah beberapa negara di Eropah seperti Britain mahu menubuhkan sebuah unit baharu bagi meningkatkan usaha menangani penyebaran be­rita palsu dan menghalang kempen penyaluran maklumat tidak betul oleh negara lain.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron juga dilaporkan mahu memperkenalkan satu undang-undang baharu yang mengharam­kan berita palsu dalam internet ketika kempen pilihan raya negara itu berlangsung.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata, kerajaan akan mengkaji untuk menggubal undang-undang baharu bagi mengekang penularan berita palsu, tetapi tidak akan mengawal internet sekiranya undang-undang baharu tersebut diperkenalkan.