HAZMAN HASSAN
HAZMAN HASSAN

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan berkata, larangan menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik bukan baharu tetapi sudah terkandung dalam amanat yang dizahirkan Tuanku Syed Sirajuddin pada tahun lalu.

Justeru, tegas Hazman, pihaknya memandang serius dan akan mengambil tindakan kepada mana-mana ahli jawatankuasa kariah di semua 105 masjid di seluruh negeri ini yang berkrompomi dengan memberi ruang kepada calon atau wakilnya menggunakan rumah ibadat umat Islam itu sebagai tempat berpolitik.

"Sebagai mata dan telinga khususnya ahli jawatan kuasa kariah dan pegawai masjid ini, mereka perlu menjadi barisan hadapan mencegah perkara ini.

"Dalam masa sama, kita juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya agensi tersebut memaklumkan kepada calon bertanding bahawa berkempen politik di masjid adalah dilarang sama sekali di negeri ini," katanya di sini hari ini.

Pada 9 April lalu, JAIPs mengeluarkan arahan agar mana-mana calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atau wakil parti politik tidak dibenarkan menjadi imam untuk solat fardu, jenazah serta sunat di dalam dan di luar kawasan masjid di negeri ini.

Dalam masa sama, segala kempen politik termasuk memasang bendera dan simbol, turut dilarang sama sekali di kawasan masjid di negeri ini.

Selain itu, calon yang bertanding atau wakilnya juga dilarang menyampaikan khutbah, ceramah, kuliah, tazkirah, taklimat atau penerangan serta ucapan di pagar, kawasan serta di dalam masjid.

Sementara itu, Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ketika ditemui dalam satu majlis malam tadi secara ringkas memberi peringatan bahawa tindakan akan diambil kepada jawatan kuasa masjid yang membenarkan mana-mana penceramah bercakap soal politik di rumah ibadat itu.

"Masjid di Perlis perlu bebas daripada gangguan kempen politik kepartian," katanya. - UTUSAN ONLINE