Pengerusi Biro Undang-Undang, Advokasi dan Hak Asasi Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, hukuman tersebut adalah penapis kepada berlakunya jenayah berat dalam julat yang tidak terkawal di negara ini.

Katanya, Islam sendiri membenarkan hukuman mati sebagai bentuk hukuman bagi kesalahan takzir iaitu kesalahan selain hukuman qisas dan hudud, walaupun agama tersebut menetapkan bahawa jiwa manusia adalah hak Allah SWT.

“Sekiranya semua kesalahan dimansuhkan hukuman mati padanya, sudah pasti bersusun bakal pesalah yang bersedia dan terpanggil untuk melakukan kesalahan-kesalahan berat tersebut akibat tidak ada lagi kegerunan pada hukumannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tahun lalu, kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah melalui Akta Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 yang dilihat sebagai langkah pertama pemansuhan sepenuhnya hukuman mati di Malaysia.

Mohd. Fared menambah, beliau bimbang pemansuhan hukuman mati akan mewujudkan kesan retrospektif iaitu menguatkuasakan sesuatu undang-undang secara ke belakang untuk mencakupi sesuatu perlakuan jenayah yang dilakukan sebelum undang-undang tersebut digubal.

Ujarnya, perkara tersebut akan menyebabkan berlakunya ketidakadilan kepada diri mangsa dan keluarga mereka. – UTUSAN ONLINE