TUN ZAKI TUN AZMI
TUN ZAKI TUN AZMI

Walaupun dijanjikan untuk dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan, namun bagi dua tokoh perundangan terkemuka negara, mereka mahu kepemim­pinan semasa menilai semula komitmen tersebut demi

kestabilan negara kerana kebebasan bersuara tidak boleh bersifat mutlak.

Bagi bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi, Akta Hasutan dalam apa juga keada­an perlu dikekalkan dan tidak seharusnya kelemahan pelaksanaan undang-undang ini oleh kerajaan terdahulu dijadikan sebab untuk dimansuhkan.

Sedangkan katanya, matlamat dan keberkesanan akta ini tidak dapat dipertikaikan dalam menjamin keharmonian kaum, agama, hubungan antara negeri dalam Persekutuan dan menghormati institusi utama negara seperti institusi raja-raja Melayu.

“Yang sebabkan orang marah apabila wujudnya unsur politik dalam penguatkuasaan akta ini. Jika si A buat, salah tetapi apabila si B daripada parti kerajaan buat, ia tidak pula dianggap kesalahan. Ini yang orang marah.

“Pada masa sama, penguatkuasaan Akta Hasutan juga harus dilihat berdasarkan objektif kritikan. Kalau kritikan itu ada asas, maka perkara itu harus dinilai oleh pendakwa. Kalau kritikan melampau yang boleh sebab pe­cah-belah dan huru-hara maka itu baru wajar diambil tindakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

ZAINUL RIJAL
ZAINUL RIJAL

Tambah Zaki, sebab itu pada pandangan beliau, akta itu dalam apa jua keadaan masih diperlukan dan perkara penting perlu dilakukan kerajaan baharu ini adalah aspek penguatkuasaan dengan memastikan tidak wujud unsur berat sebelah.

Sementara itu, Pre­siden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Akta Hasutan perlu dikekalkan kerana kepentingannya dalam menghindar perbalahan yang lebih besar.
Katanya, kebebasan bersuara itu sendiri bukan bermakna tiada had sebaliknya ia perlu dibataskan dalam ruang lingkup perundangan sendiri.

“Sebab itu, walaupun Ahli Parlimen menikmati imuniti dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, namun mereka masih tertakluk kepada Akta Hasutan.

“Kita perlu membezakan antara kritikan, bohong, fitnah dan menghasut yang membawa implikasi perunda­ngan yang berbeza-beza. Pendapat dan kritikan berhak di­suarakan dengan bebas tetapi bohong pula, itu boleh beri kesan perundangan.

“Jika kenyataan itu satu fitnah, ia mesti disusuli tindakan undang-undang manakala mengha­sut pula mempunyai elemen niat jahat, maka yang terlibat juga tidak boleh dilepaskan daripada menanggung akibat,” tegasnya.

Jumaat lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan amat dukacita de­ngan tindakan pihak tertentu yang sejak kebelakangan ini secara terbuka menghina dan mem­perlekeh­kan institusi raja, bagi menghasut serta mempengaruhi rakyat agar membenci Raja-raja Me­layu.

Berikutan teguran pelbagai pihak termasuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, A. Kadir kemudian melepaskan jawatan Ketua Media dan Komunikasi bagi Jawatankuasa Pera­lihan Majlis Penasihat Kerajaan untuk mengelakkan kekeliruan masyarakat berkaitan peranannya dalam majlis tersebut serta pandangan beliau dalam blog.