Perdana Menteri menegaskan usaha mengekalkan keamanan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum perlulah bermula dengan memupuk pemahaman yang lebih baik di antara satu sama lain.

Beliau pada masa sama menyeru rakyat berbilang kaum dan agama supaya kembali kepada kepercayaan masing-masing yang sudah tentunya menekankan prinsip keharmonian dalam usaha menjadikan Malaysia lebih baik pada masa depan.

“Ini bukan soal hanya menziarah atau hadir ke rumah terbuka pada setiap musim perayaan. Kita perlu lebih memahami budaya setiap kaum di negara ini.

“Kita telah banyak diuji sebelum ini, tetapi kesepaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum yang kuat membantu kita melepasi setiap cabaran. Keamanan dan keharmonian tidak datang dengan sendirinya tetapi daripada kerja keras untuk ‘melahirkannya’.

“Saya yakin masa depan negara adalah cerah. Kembali kepada agama serta kepercayaan masing-masing tidak kira Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya, jawapannya ada di sana, jadilah seorang yang berpegang kepada kepercayaan, Malaysia akan menjadi lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Perdana Keamanan dan Keharmonian anjuran Christian For Peace And Harmony Malaysia (CPHM) di sini malam ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Paul Low Seng Kuan.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menjelaskan sebab beliau mewujudkan konsep 1Malaysia ialah kerana percaya kepada perlunya usaha mendidik rakyat dan generasi akan datang bukan hanya bersabar antara satu sama lain tetapi pada masa sama menerima kelainan budaya.

“Keharmonian sosial merupakan tulang belakang kepada pembentukan negara, kita memerlukannya. Oleh sebab itu, kerajaan bersedia untuk mendengar pandangan dan terbuka dengan cadangan diutarakan pertubuhan seperti CPHM kerana percaya salah satu kuncinya ialah kerjasama,” jelas beliau. - UTUSAN ONLINE