Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, selepas lima dekad, perkara paling mudah dilupakan oleh mereka adalah perkara-perkara yang me­nyatukan ASEAN.

Baginda bertitah, ia bukan disebabkan oleh faktor ekonomi dan sosial sebaliknya melibatkan keamanan dan kestabilan.

“Kenapa keamanan begitu penting untuk ASEAN pada hari dan zaman ini? Keamanan dan keselamatan merupakan sesuatu yang tidak boleh diambil kesempatan ke atasnya. Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara sendiri mengesahkan perkara ini.

“Tujuan perjanjian tersebut melibatkan cara mempromosikan keamanan yang berterusan, persahabatan yang kekal dan kerjasama antara rakyat di Asia Tenggara. Komuniti ASEAN hari ini ditunjangi dengan tiga tonggak iaitu keselamatan politik, ekonomi dan sosiobudaya, namun apa lebih utama adalah keamanan dan keselamatan yang menjadi teras kesinambungan ASEAN,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan seminar dan pelancaran buku ASEAN Menuju Ke Hadapan: Jangkaan 50 Tahun Akan Datang di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Tan Sri Rastam Mohd. Isa dan bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Selain itu, Sultan Perak bertitah, mengekalkan kebebasan dan keneutralan ASEAN pada waktu persaingan geopolitik yang kembali melanda rantau ini ketika ini lebih kepada cabaran kedua.

Titah baginda, ASEAN telah diterima oleh semua pihak yang mana sebahagian besar kemampuannya ditunjukkan sebagai hab inisiatif integrasi dan kerjasama antara Asia Tenggara dan Asia Timur bergantung kepada keupayaannya untuk kekal bebas dan neutral.

“Cabaran ketiga melibatkan peranan ASEAN untuk kekal terbuka, sederhana dan inklusif. ASEAN bertindak secara bijak apabila kekal terbuka kepada dunia dan kedudukannya pada hari ini bukan disebabkan dasar tertutup tetapi oleh keberanian serta kepemimpinan bekas serta pemimpin kini yang sudah me­nerima globalisasi sepenuhnya.

“Bagi cabaran keempat, ASEAN perlu lebih mengutamakan pencapaian Matlamat Pemba­ngunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) demi menjadi sebuah rantau yang berorientasi dan berpusatkan kepada masyarakat manakala inovatif dan relevan kepada gene­rasi akan datang pula merupakan cabaran terakhir bagi ASEAN.

“Pemimpin ASEAN harus sedar serta peka dengan perubahan mendadak yang berlaku di peringkat global selain mereka (ASEAN) juga turut sensitif terhadap perubahan tersebut dan mampu menyesuaikan diri de­ngannya,” titah baginda.