Firdaus Mohd. Radzi, 29, yang kini mengusahakan kedai kek dan pastri Modernecks membawa bersamanya kek Jalur Gemilang sebe­rat 1.5 tan sebagai tanda cintakan kemerdekaan negara dan mahu memuliakan sekolah yang mendidiknya menjadi insan berguna.

Lebih bermakna, pada hari bersejarah ini, Firdaus turut membawa bersama ibunya, Zaimah Hassan, 58, yang banyak bersabar dalam mendidiknya, meskipun ketika remajanya, dia terkenal dengan sikap nakal sehingga ke­rap didenda oleh gurunya.

“Hadiah kek dengan ukuran 4.57 meter panjang dan 1.82 meter lebar ini adalah tanda penghargaan saya kepada SMK Seksyen 24 (2) yang mendidik saya hingga menjadi usahawan kulinari hingga mempunyai dua kedai di Seksyen 24 dan Setia Alam.

“Saya juga membawa ibu hari ini yang satu masa dahulu datang ke sekolah ini untuk menandatangani surat penggantungan saya kerana sikap nakal saya. Kini saya bawa ibu saya untuk menyampaikan kek besar ini,” katanya di sini hari ini.

Majlis penyerahan kek gergasi tersebut disempurnakan Penolong Kanan SMK Seksyen 24 (2), S. Subramaniam dan yang turut hadir ialah Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Datuk Aamizar Abu Adam.

Dalam pada itu, Firdaus berharap, generasi muda yang lahir selepas negara mencapai kemerdekaan menggunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk menimba ilmu sebagai bekalan masa depan.

Katanya, dia bimbang dengan generasi hari ini yang lebih menumpukan kepada gajet dan mengabaikan soal ilmu khususnya yang berkaitan dengan sejarah sehingga perjuangan darah serta keringat pejuang terdahulu dalam memerdekakan negara dilupakan.

“Tanpa sejarah kita tidak dapat belajar daripada kesilapan untuk melakukan perkara yang betul berdasarkan pengalaman pahit masa lalu,” katanya.

Sementara itu Aamizar di dalam ucapannya berkata, pihak PIBG dan SMK Sekysen 24 (2) amat berbesar hati dengan hadiah kek gergasi yang dihadiahkan oleh bekas pelajar sekolah tersebut.

“Semoga hadiah kek ini apatah lagi dibuat sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan akan menjadi contoh untuk pelajar SMK Seksyen 24(2) mencipta kejayaan seperti Firdaus,” katanya.