SHAHRIN ISMAIL
SHAHRIN

Sekretariat Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), Shahrin Ismail berkata, kejohanan tersebut bakal menyaksikan saingan sengit daripada 18 buah negara yang mengambil bahagian.

“Negara-negara yang mengambil bahagian ialah Australia, Brazil, Kanada, China, Republik Czech, Jerman, India, Korea Selatan, Nepal, Filipina, Poland, Singapura, Sri Lanka, Taiwan, Amerika Syarikat, Rusia, Thailand dan Malaysia selaku tuan rumah.

“Kejohanan ini merupakan kejohanan peringkat universiti dunia yang kedua bagi tahun ini dianjurkan oleh Masum dengan kerjasama Kementerian Pendidikan selepas Kejohanan Sukan Menembak Universiti Dunia pada Mac lalu.

“Dianggarkan 200 atlet dan pegawai terlibat dalam kejohanan ini bagi merebut gelaran juara,” katanya di sini, hari ini.

Shahrin menambah, WUBC 2018 mempertandingkan dua acara iaitu individu dan berpasukan.

Menurutnya, acara individu yang dipertandingkan ialah perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

“Setiap negara perlu mengikuti peraturan teknikal terbaru yang ditetapkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF). Acara berpasukan akan dijalankan dari 15 sehingga 17 Oktober ini manakala acara individu dari 19 sehingga 21 Oktober ini.

“Acara pembukaan rasmi kejohanan dijadualkan pada 15 Oktober ini pukul 9 pagi oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE