Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau secara peribadi menyanjung tinggi pencapaian Mohd. Sidek yang berasal dari tempat dahulunya berada dalam kawasan Parlimennya, Pekan dan menggambarkan bekas KSN dari tahun 2006 hingga 2012 itu sebagai seorang yang gigih, bersungguh-sungguh, cekal dan berintegriti.

Najib yang melancarkan buku biografi Sidek hari ini bertajuk ‘No Wrong Door: The Story of Sidek Hassan berkata, antara pencapaian terbesar bekas KSN itu sepanjang perkhidmatannya adalah melonjakkan kedudukan Malaysia dalam Laporan Menjalankan Perniagaan oleh Bank Dunia hasil transformasi perkhidmatan awam.

Beliau berkata, kejayaan lain adalah mengeratkan kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang amat sukar untuk dilakukan dalam sejarah negara.

“Menjadi anak yatim pada umur enam tahun daripada sebuah keluarga miskin di kampung, boleh berjaya sehingga menjadi KSN.

“Oleh itu kalau hendak dapat sesuatu inspirasi atau cerita yang boleh jadi teladan kita boleh baca buku ini,” katanya ketika ber­ucap dalam majlis pelancaran buku itu di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Mohd. Sidek; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali.

Buku itu ditulis oleh Dr. Rokiah Talib yang pernah memegang jawatan sebagai pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya dan pernah bertugas sebagai Karyawan Tamu di Penerbit UKM.

Najib juga berbesar hati apabila Sidek di dalam buku tersebut turut menghargai jasa kerajaan yang menyediakan bantuan kewangan kepada beliau semasa zaman persekolahannya dan menjadi faktor penting membantu dirinya berjaya.

“Tidak kira sama ada orang terkaya atau KSN, pada satu ketika dalam hidup anda pasti kerajaan ada membantu,” katanya.

Perdana Menteri turut melahirkan ucapan terima kasih kepada Sidek kerana masih meneruskan sumbangan kepada negara termasuk kini sebagai Pengerusi Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).

“Saya bangga seorang anak kampung dari Pekan berjaya sebagai KSN dan Pengerusi Petronas, kerana saya tahu Cherok Paloh semasa era 60-an amat berbeza berbanding sekarang,” katanya.