Jika pada tahun 2004, kutipan zakat hanya berjumlah RM16.5 juta, ia meningkat saban tahun sebelum mencacat kutipan ter­tinggi iaitu RM120 juta pada tahun 2017.

Kejayaan itu membuktikan usa­ha serius kerajaan negeri dalam memastikan kecekapan pengurusan zakat seiring dengan hasrat memartabatkan Islam dan memperkasakan ummah di negeri ini.

Menurut laporan portal kerajaan negeri www.bnns2rakyat.com, dalam tempoh tersebut, jumlah pembayar zakat turut meningkat apabila seramai 57,655 orang direkodkan menunaikan kewajipan berkenaan sekali gus melebih jumlah pembayar pada 2004 iaitu 19,254 orang.

Kecekapan bukan hanya dalam aspek mengutip zakat, bahkan ia turut diperlihatkan dalam pe­ngagihan wang zakat sekali gus menepati tujuan disyariatkan zakat sebagai platform bagi membantu sesama Islam.

Jumlah zakat yang diagihkan kepada lapan asnaf di negeri ini ialah sebanyak RM833 juta dari tahun 2004 sehingga 2017.

Dalam tempoh tiga tahun lalu agihan zakat mencapai angka tertinggi melebihi RM100 juta iaitu RM101.9 juta pada 2015, RM102.9 juta (2016) dan RM105.8 juta pada tahun lalu.

Majlis Agama Islam Nege­ri Sembilan (MAINS) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan juga mengagihkan secara konsisten keseluruhan zakat yang dikutip pada setiap tahun.

Bagi memastikan golongan susah dibantu, sejumlah RM148 juta telah diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin dalam bentuk barang makanan dan wang tunai.

Jika pada 2010, jumlah yang diperuntukkan bagi tujuan itu ialah RM9.43 juta, ia meningkat kepada RM17.3 juta pada tahun lalu. Mereka yang mendapat bantuan bulanan pada 2017 ialah seramai 5,761 orang.

Pendidikan Islam turut diberi perhatian oleh kerajaan BN dalam usaha melahirkan generasi berilmu pengetahuan, beriman dan menjiwai akhlak seorang Muslim.

Bagi tujuan itu sebanyak RM53.2 juta telah disalurkan bagi pembiayaan bidang pendidikan Islam pada tahun lalu. Ia melibatkan RM16.9 juta di bawah MAINS, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan (RM11.2 juta); Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (RM21.8 juta) dan Jabatan Pendidikan negeri (RM3.3 juta).

Pada masa ini terdapat beberapa jenis sekolah agama di negeri ini iaitu sebuah Sekolah Berasrama Penuh Aliran Agama, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebanyak 16 buah, tahfiz atau madrasah (68), Kelas Agama Petang (235), Sekolah Agama Rakyat (59), sekolah agama swasta (13), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (2) dan Sekolah Menengah Agama Negeri (1).

Tumpuan terhadap pendidikan agama menyaksikan sebanyak 15 buah sekolah berdaftar dengan Kementerian Pendidikan sebagai SABK pada 2005.

Wawasan kerajaan negeri membuahkan hasil apabila seba­nyak tujuh sekolah aliran agama menduduki ranking ke-20 terbaik peringkat negeri dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2011 dan bertambah kepada sembilan sekolah pada 2017.

Lebih membanggakan apabila negeri ini mencatat keputusan terbaik peringkat kebangsaan dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) selama tujuh tahun berturut-turut.

Sehingga 2017, hampir 800 calon menduduki peperiksaan STAM dan 330 orang daripadanya berjaya memperoleh keputusan Mumtaz (Cemerlang).

Bagi tujuan melanjutkan pe­ngajian, MAINS turut menaja pelajar ke Asia Barat antaranya ke Mesir, Jordan dan Maghribi. Antara 2007 hingga 2017 seramai 105 pelajar ditaja mengikuti bidang perubatan di luar negara manakala 366 pelajar mengikuti bidang pengajian Islam dengan jumlah tajaan berjumlah RM13.3 juta.

Dalam pada itu, MAINS turut berbangga apabila kini memiliki bangunan Menara MAINS yang dibina dengan kos RM75 juta dan terletak di lokasi strategik di pusat bandar Seremban.

Bangunan yang siap pada 2016 itu menempatkan pejabat MAINS dan agensi-agensinya selain dise­wakan kepada pihak swasta.

Berdirinya bangunan itu me­nun­jukkan kejayaan pengurusan agensi agama di bawah pentadbiran kerajaan negeri sekali gus menjadi mercu tanda baharu kepada Negeri Sembilan.