Setelah selesai majlis pengumuman keputusan peperiksaan awam itu pagi ini, Muhammad Syauqellah Razali, 18 yang ditemani ibu , Zainab Yusof, 49, seorang guru kelas Agama dan Fardhu Ain meninggalkan pejabat pengarah itu dan singgah menziarahi tanah kuburan ayahnya di Gong Tok Nasek dekat sini.

Kehilangan bapa yang menjadi pergantungan keluarga dua tahun lalu makin dirasakan saat itu namun kehilangan itu menjadi  pendorong bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malik untuk tidak mensia-sia masa depan apabila mendapat keputusan 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan, hari ini.

Anak ketiga dari empat beradik itu, berkata, arwah ayahnya, Razali Ibahim yang merupakan pembantu perawatan kesihatan di Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ) meninggal dunia akibat serangan jantung.

"Jika  arwah ada, dia tentunya berbangga dengan kejayaan ini,” katanya selepas pengumuman keputusan SPM di Jabatan Pelajaran, hari ini.

Muhammad Syauqellah yang berhasrat menyambung pelajaran di Universiti Malaya (UM) dalam bidang kejuruteraan berkata, tiada rahsia untuk kejayaan cemerlang selain tekun belajar dan memahami apa yang dipelajari di samping berdoa, istiqamah, tawakal dan reda.

Sementara itu bagi pelajar yang mengalami disleksia, Ahmad Izzat Sohame @ Suhaimi, kekurangan diri  dan kepayahan yang dilalui untuk belajar tidak menjadi penghalang untuk berjaya dalam peperiksaan SPM, dan diumumkan sebagai calon berkeperluan khas (CBK) cemerlang negeri Terengganu 2017.

Pelajar  Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Telemong, Hulu Terengganu itu yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis bertuah kerana ibunya Norliah Othman, 49, guru pendidikan khas di sekolah yang sama lebih memahaminya.

Ahmad Izzat berkata, dia tidak menduga akan berjaya mendapat 4A, 2A-, 1B+, 1C+, 1C dan mahu rakan yang senasibnya juga mampu mendapat kejayaan lebih baik sebagai jaminan masa depan. - UTUSAN ONLINE