Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, arwah begitu komited dalam usaha mengeratkan silaturahim an­tara dua entiti tersebut.

“Beliau tidak pernah je­­
mu dengan berbagai usa­ha secara kerjasama antara KVUM dan Utusan Malaysia.
“Saya amat berharap silaturahim yang wujud antara KVUM dan Utusan Malaysia di atas usaha gigih arwah dapat diteruskan walaupun kita telah kehilangan beliau,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pe­ngarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak berkata, sebagai peneraju KVUM, Raja Ahmad Niza sentiasa komited mendukung dan menyokong Kumpulan Utusan dalam erti kata sebenar.

“Kerap beliau mengambil inisiatif menghubungi dan berjumpa saya apabila ada pihak yang menyerang Utusan Malaysia dan sewaktu Utusan Malaysia melalui detik-detik getir.

“Saya kehilangan seorang sahabat juga pejuang Utusan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, Raja Ahmad Niza merupakan tokoh wartawan dan penulis yang amat beliau hormati.

“Dunia penulisan tidak pernah diabaikan walaupun beliau aktif dalam politik dan kerja-kerja berpersatuan.

“Dengan pemergian beliau maka hilang seorang lagi bintang cemerlang dalam tradisi gemilang kewartawanan Utusan Malaysia,” katanya.