Namun, hari ini, di majlis pengebumian Allahyarham Bah­yah Mahmod, tiga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin, Tan Sri Johan Jaaffar dan Datuk Khalid Mohd bersama-sama Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak bertemu di Masjid Al-Ansar, Taman Sri Keramat, di sini untuk memberi penghormatan terakhir buat Bahyah yang pernah menjadi sebahagian daripada warga kerja Utusan Melayu.

Dari kaca mata Zainuddin, Johan, Khalid dan Abdul Aziz, Bahyah ialah seorang wartawan luar biasa.

Pemergian Bahyah juga disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada syarikat penerbitan Utusan Melayu khususnya dan dunia kewartawanan tanah air umumnya.

Menurut Abdul Aziz, seperti mana Allahyarham suaminya, Ahmad Idris atau Abi, Bahyah juga mempunyai jati diri Utusan yang tinggi selain reputasi sebagai wartawan hiburan yang hebat.

“Walaupun telah lama bersara, beliau sentiasa mendokong dan menyokong kuat Utusan dalam menempuh pelbagai cabaran. Itulah yang sentiasa terzahir daripada kata-kata , keprihatinan dan semangatnya setiap kali jika kami bertemu. Jasa dan pengorbanannya akan tetap tersemat dalam tinta sejarah,” kata Abdul Aziz.

Sementara itu, Allahyarham Bam digambarkan Zainuddin sebagai seorang wartawan yang berdedikasi.

Zainuddin berkata, keperibadian Bam yang paling menawan adalah meletakkan kepercayaan dan amanah di kedudukan teratas berbanding menempa populariti sebagai wartawan hiburan.

Sekalipun semasa bergelar wartawan hiburan popular Bam mendapat kelebihan mendekati golongan selebriti, namun peluang itu, tegas Zainuddin, tidak disalahguna oleh Allahyarham semata-mata untuk kepentingan kerjayanya.

“Tidak hairanlah kenapa Bam semasa era kegemilangannya men­jadi seorang penulis hiburan yang dihormati oleh kebanyakan artis.

“Allahyarham tidak pernah mengabaikan kerahsiaan artis. Lihat sahaja bagaimana arwah mempertahankan Sudirman ketika hayatnya sehinggakan saya sendiri sebagai ketuanya tidak tahu perkembangan Sudirman ketika itu.

“Secara rumusannya, Bam bo­leh kita sifatkan sebagai pustaka atau arkib yang menyimpan terlalu banyak kerahsiaan artis-artis di era 70-an, 80-an hingga 90-an,” kata Zainuddin.

Bagi Johan pula, istimewa­nya tokoh wartawan bernama Bahyah ialah kerana beliau mendapat sokongan daripada suaminya yang juga seorang pengamal media berpengaruh.

Menurut Johan, pasangan Bam - Abi telah memperkenalkan ‘hukum-hakam’ kewartawanan hiburan negara semasa di era ke­ge­milangan mereka.

“Saya sangat mengagumi arwah dari aspek keperibadian dan kerjaya. Kedua-duanya seimbang dan saya bersyukur kerana berkesempatan bekerja dengan mereka semasa saya mula menyertai Utusan pada 1992.

“Utusan Melayu sendiri terhutang budi dengan arwah Bam. Kita tidak boleh menafikan jasa arwah Kak Bam pada akhbar Mingguan Malaysia kerana tulisan beliau dalam akhbar itu sentiasa ditunggu-tunggu pada hujung minggu,” kata Johan lagi.

Kepada Khalid pula, Allahyarham Bam ialah seorang legenda dalam kewartawanan hiburan.

Menurut Khalid, Allahyarham Bam antara wartawan yang sangat bertuah kerana melihat industri hiburan dari pelbagai era menyebabkan beliau memiliki pengalaman yang sangat berharga yang tidak dimiliki oleh wartawan lain.

“Saya akan mengenang beliau sebagai seorang yang sangat istimewa,” kata Khalid mengenang pemergian wartawan hiburan terbilang negara itu.