Menurut Pengurus dan Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim (gambar)berkata, sambutan menggalakkan itu adalah hasil kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pihaknya mahu lebih ramai pelajar sekolah menengah di seluruh negara menyertai pertandingan tersebut.

“Kita mendapat maklum balas positif daripada setiap JPN berkenaan dan ada di antara mereka yang mahu menjadikan pertan­dingan ini sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi pencapaian akademik.

“Selain itu, JPN Sabah pula menyatakan tema pertandingan ini iaitu #muhibbah amat bersesuaian dengan kepelbagaian etnik di negeri berkenaan. Saya yakin tema ini sendiri mampu menarik lebih ramai peserta untuk menyertai pertandingan ini,” katanya.

Wahid berkata, pertandingan itu akan berlangsung selama setahun bermula 1 Januari sehingga 31 Disember ini dengan konsep empat pemenang hadiah utama bernilai RM1,000 beserta sijil kokurikulum peringkat kebangsaan setiap sebulan.

Katanya, pemenang juga berpeluang untuk menerima sijil kokurikulum peringkat antarabangsa sekiranya video mereka di pamerkan di luar negara oleh syarikat yang menaja pertandingan ini iaitu Orando Holdings.

“Yang penting setiap video mengikut kriteria yang ditetapkan oleh juri iaitu video pendek berdurasi dua minit; keterangan video antara 50 hingga 100 patah perkataan dan mempunyai inspirasi sosial yang positif,” katanya.