Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun kesilapan tersebut telah berlaku dalam tempoh yang lama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap memberi komitmen untuk memulangkan hak kedua-dua negeri berkenaan seperti termaktub di dalam MA63.

“MA63 ini adalah perjanjian yang dibuat pemimpin terdahulu, apabila Perdana Menteri (Najib) kata kita pulangkan kalau ada apa-apa yang terambil itu maksudnya apa yang diambil oleh yang memerintah selama 22 tahun, maka kita mahu pulangkan.

“Jika ada isu terlepas pandang atau tidak diselesaikan oleh pemim­pin terdahulu, insya-Allah Perdana Menteri akan cari jalan untuk selesaikan perkara-perkara itu,” katanya ketika berucap dalam majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Luar merangkap penyandang kerusi Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman; penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut, Datuk Mohd. Ariffin Arif dan penyandang kerusi DUN Bongawan, Datuk Mohamad Alamin.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, slogan Sabah for Sabahan dan Sarawak for Sarawakian yang dimomokkan pembangkang juga hanyalah retorik semata-mata.

Sebaliknya, tegas beliau, ke­dua-dua negeri itu adalah tetap milik rakyatnya dan BN adalah sebuah parti yang bertanggungjawab membangunkannya agar setiap rakyat menerima manfaat daripada pembangunan tersebut.

“Jawatankuasa Kabinet ber­kaitan MA63 telah ditubuhkan, Sabah diwakili Anifah, manakala Sarawak diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri kerana kerajaan mahu mendengar apa pandangan rakyat,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, rakyat Sabah khususnya perlu menye­dari perkara itu dan mengambil tindakan dengan memastikan pemimpin-pemimpin pembangkang terutama yang pernah bersama BN ditewaskan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya mahu melihat gelombang rakyat bermula, biarpun ada pemimpin di seberang sana yang dulu pakai baju sama warna tetapi sekali mereka menyeberang kita tidak boleh terima mereka.

“Jangan sesekali mengaburi mata rakyat, jangan pernah memesongkan fikiran rakyat kerana Sabah masih perlukan BN,” katanya.

Habis