Duta Besar Luar Biasa dan Berkuasa Penuh Indonesia ke Malaysia Herman Prayitno berkata pihaknya mahu membantu Malaysia melaksanakan program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin, susulan tindakan kerajaan negara ini menangguhkan pengambilan pekerja asing.

"Sekarang ini, masih ramai pekerja Indonesia bekerja secara haram di Malaysia jadi, sementara pengambilan pekerja asing ditangguhkan, saya kira pekerja Indonesia yang bekerja secara tidak sah di sini boleh diambil semula.

"Buat kita, tidak ada masalah tetapi kita tunggu perkembangannya...saya kira ia adalah positif," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman mengenai program Bernama Radio24 'Kabar Merah Putih' di Wisma Bernama di sini, hari ini.

Katanya kedutaan itu bersedia mengeluarkan dokumen seperti pasport kepada pekerja Indonesia yang bekerja secara tidak sah di sini bagi membolehkan mereka didaftarkan menerusi program itu, dengan syarat mereka mempunyai majikan.

Mengulas lanjut mengenai langkah Malaysia menangguhkan pengambilan pekerja asing, Herman berkata pihaknya melihatnya sebagai langkah positif dan ia haruslah dimanfaatkan Malaysia untuk menyelesaikan isu pekerja tidak sah di negara ini.

Jumaat lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa kerajaan menangguhkan pengambilan pekerja asing sehingga berpuas hati terhadap keperluan sebenar tenaga kerja oleh pihak industri.

Selain itu, Kementerian Dalam Negeri melaksanakan program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) mulai Isnin lepas bagi mengenal pasti jumlah PATI yang berada di negara ini dengan tepat.

Terdahulu, Herman menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Bernama Radio24 dan Kedutaan Besar Indonesia Kuala Lumpur berhubung penerbitan program radio 'Kabar Merah Putih' bagi musim ketiga.

Bernama Radio24 diwakili Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Zulkefli Salleh manakala Kedutaan Besar Indonesia Kuala Lumpur diwakili Kaunselor Menteri kedutaan itu Freddy M.Panggabean.

Turut hadir Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abd. Wahab dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama, Datuk Mokhtar Hussain. - BERNAMA