Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada bantuan yang pernah diberikan pihak kedutaan Arab Saudi bagi menyokong misi kebajikan NGO Antarabangsa di Kemboja.

"Kedutaan Arab Saudi sentiasa membantu NGO Antarabangsa bagi menjalankan misi kebajikan di Kemboja kerana negara itu tidak mempunyai kedutaan Arab Saudi. Sebagai peneraju NGO ini, saya amat berbangga dengan sokongan kedutaan Arab Saudi menerusi pelbagai sumbangan seperti naskhah al-Quran, permaidani masjid dan hari ini sumbangan telekung serta kain pelikat.

"Sumbangan tersebut akan kami agihkan dengan segera kepada fakir miskin dan mualaf di Kemboja khususnya di kawasan pedalaman sebagai persediaan menghadapi bulan Ramadan. Barang-barang ini sukar diperoleh di Kemboja dan jika ada jumlahnya terhad dan mahal harganya," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan tersebut baru-baru ini yang turut dihadiri Penasihat Islam, Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Sheikh Abdul Rahman M Al-Herfi.

Sementara itu, menurut Sheikh Abdul Rahman, usaha yang dijalankan oleh Mustapha di Kemboja selama ini amat bermakna dan membanggakan terutama bagi kepentingan kemanusiaan.

"Secara peribadi, saya sentiasa menyokong usaha-usaha murni yang dijalankan dan pihak saya akan menyokong NGO Antarabangsa bagi melaksanakan program untuk kebaikan ummah.

"Saya juga akan meminta NGO yang mempunyai kaitan dengan Arab Saudi agar dapat terus membantu Mustapha dalam menjayakan aktivitinya di peringkat antarabangsa untuk kesejahteraan dan keamanan keseluruhannya," katanya. - UTUSAN ONLINE.