Euben Paracuelles
Euben Paracuelles

Pakar Ekonomi Kanan Nomura Asia Tenggara, Euben Paracuelles berkata, keadaan itu akan memberi ke­lebihan kepada kerajaan memerintah, Barisan Nasional untuk meraih mandat yang lebih besar dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, para pelabur akan lebih cenderung untuk memberi tumpuan kepada prestasi ekonomi negara di sebalik wujudnya beberapa gangguan politik (political noise) dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini diunjur berkembang 5.3 peratus berbanding sebelum ini, 4.5 peratus.

‘‘Ini kerana di sebalik semua ini, prestasi ekonomi negara menunjukkan indikator yang baik apatah lagi dengan penganjuran Sukan SEA tahun ini akan me­rangsang ekonomi domestik dan dalam masa sama dilihat memberi kelebihan kepada kerajaan untuk meraih lebih banyak undi.

“Selain itu, ekonomi negara turut dipacu oleh aktiviti eksport terutama dalam sektor elektrik dan elektrikal yang meningkat secara berperingkat-peringkat dan imbangan dagangan yang positif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang video mengenai prospek ekonomi Asia Tenggara dan Malaysia pada separuh kedua 2017 di sini hari ini.

Ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus pada suku pertama 2017 berbanding 4.2 peratus bagi tempoh sama tahun sebelumnya dan merupakan prestasi terbaik yang dicatatkan sejak suku pertama 2015, iaitu 5.8 peratus.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Muhammad Ibrahim sebelum ini berkata, pres­tasi kukuh yang dicatatkan pada suku pertama itu mencerminkan kedudukan ekonomi negara berada dalam momentum yang tepat untuk mencapai unjuran KDNK antara 4.3 hingga 4.8 peratus tahun ini.

Mengenai kedudukan ringgit, Paracuelles berkata, ia diunjur mencecah RM4.32 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang hujung tahun ini manakala RM4.26 pada hujung 2018.

Katanya, kedudukan ringgit turut dipengaruhi oleh jangkaan Rizab Persekutuan AS yang dilihat akan menaikkan kadar faedah pada Disember ini.

“Selain itu, harga minyak dijangka berlegar sekitar AS$50 hingga AS$55 (RM214.90 hingga RM236.39) setong,” katanya.