Antara kerosakan yang dikesan termasuk tandas-tandas yang terpaksa ditutup kerana tersumbat, suis lampu dan kipas yang rosak selain perkakas yang patah serta rosak.

Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek yang mendedahkan kerosakan-kerosakan tersebut berkata, perkara sebegini tidak boleh dibiarkan kerana sebarang usaha untuk membaikinya akan melibatkan dana rakyat.

Menurutnya, walaupun Ketua Menteri, Adly Zahari ada membuat kenyataan tidak akan mendiami Seri Bendahara kerana ingin berjimat, namun kos membaiki kerosakan ini akan membabitkan perbelanjaan besar.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya mengisytiharkan berapa kerosakan yang terpaksa dibaiki memandangkan mereka difahamkan perlu menjalankan penyelenggaraan terhadap Seri Bendahara.

“Saya tidak tahu apa motif kerajaan negeri melakukan ini. Sekiranya hendak diperlihatkan pembaziran Ketua Menteri lalu maka seharusnya Ketua Menteri lalu diheret ke mahkamah,” katanya selepas membuat tinjauan di Seri Bendahara sebentar tadi.

Pada masa sama, Kamaruddin turut mempersoalkan berhubung tindakan kerajaan negeri yang dikatakan tidak meletakkan sebarang etika berpakaian terhadap pengunjung.

Katanya, beliau sendiri melihat pemakaian segelintir pengunjung yang agak mencolok mata dan tidak sesuai.

“Saya sendiri pun tidak tahu hendak cakap sama ada mereka ini berpakaian atau tidak.

“Kawasan ini seolah-olah sudah menjadi satu kawasan bebas dan tanpa peraturan. Kalau kerajaan negeri rasa sudah tidak boleh kawal, baik ditutup sahaja (Seri Bendahara kepada umum),” katanya. - UTUSAN ONLINE