Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, i-KeeP digerakkan melalui kerjasama strategik antara kerajaan dan enam syarikat peruncitan yang berupaya dalam kewangan.

Enam syarikat itu adalah Tunas Manja Group (TMG Mart), KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. (KK Super Mart), Segi Cash & Carry Sdn. Bhd. (Pasaraya Segi Fresh), Koperasi Permodalan Felda (KPF) Malaysia Berhad (D’Mart), Koperasi Orang Melayu Kerajaan Perak Berhad (SKOMK) dan Big Supermart Sdn. Bhd (Big Supermart).

“i-KeeP tidak mempunyai premis khusus seperti KR1M, sebaliknya pemilik outlet kepada enam syarikat strategik yang dipilih akan menjalankan perniagaan i-KeeP di premis-premis sedia ada mereka.

“Barangan i-KeeP boleh dikenal pasti melalui logo i-KeeP yang dipaparkan dalam bentuk papan tanda dan pelekat yang diletakkan secara berasingan di dalam premis syarikat peruncitan yang terlibat,” katanya selepas melancarkan i-KeeP di kementeriannya di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, pada fasa permulaan, kesemua premis i-KeeP tertumpu di Semenanjung Malaysia dengan jumlah premis yang menyertai seba­nyak 304 buah, diikuti Sabah dan Sarawak pada fasa seterusnya.

Beliau memberitahu, i-KeeP merupakan inisiatif penjenamaan semula untuk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), bagaimanapun KR1M hanya mempunyai satu rakan strategik.