Beliau berkata demikian sewaktu mengumumkan kemangkatan baginda di Wisma Darul Aman, di sini.

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 90, yang memerintah Kedah selama 59 tahun, mangkat di Istana Anak Bukit di sini pada pukul 2.30 petang tadi.

Almarhum meninggalkan Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun dan tiga puteri.

Ahmad Bashah berkata, jenazah Tuanku Abdul Halim akan disembahyangkan di Istana Anak Bukit pada pukul 10.30 pagi esok.

Menurut beliau, penghormatan terakhir bagi pembesar negeri dan orang kenamaan, bermula pada pukul 12.30 tengah hari dan terakhir pukul 1.30 petang manakala orang ramai pula antara pukul 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

"Jenazah almarhum akan disemayamkan di Dewan Penghadapan Baru, Istana Anak Bukit untuk penghormatan terakhir mulai 11.30 pagi," katanya.

Selain tempoh berkabung, Ahmad Bashah turut mengumumkan bendera negeri dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh tersebut manakala bendera Malaysia pula dikibarkan separuh tiang selama tujuh hari.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan turut dibatalkan.

"Sebagai tanda penghormatan ke atas kemangkatan Almarhum, kerajaan negeri juga mengumumkan esok sebagai hari kelepasan am bagi seluruh negeri ini.

"Bagaimanapun peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pula akan berjalan seperti biasa," katanya. - UTUSAN ONLINE