Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, jika sebarang caj tersebut dilaksanakan maka langkah itu hanya akan menambahkan lagi beban peminjam untuk membayar pinjaman mereka.

Susulan itu, kata beliau, PTPTN perlu merangka satu mekanisme terbaik agar langkah penangguhan bayaran balik pinjaman memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak.

"MBM mengingatkan kerajaan agar tidak mengenakan caj perkhidmatan tambahan atau bunga kepada mereka yang belum mampu membayar pinjaman PTPTN. Jika tidak, ini akan membebankan pemimjam khususnya golongan muda.

"PTPTN perlu memperincikan langkah (penangguhan) ini agar peminjam tidak terkeliru serta memperjelaskan mengenai sebarang caj yang mungkin dikenakan jika peminjam belum mendapat gaji lebih RM4,000 sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar program Salam Anak Muda: Imarah Ramadan MBM di Pusat Belia Antarabangsa di sini hari ini.

Sementara itu, Mua'mar Ghadafi Jamal mengingatkan peminjam yang terdiri daripada golongan muda agar tidak mengambil kesempatan daripada pelaksanaan penangguhan bayaran balik pinjaman.

"MBM menyokong usaha kerajaan memberikan kelonggaran kepada peminjam untuk membayar semula pinjaman tanpa rasa tertekan. Namun perlu diingat, hutang tetap hutang.

"Peminjam perlu lebih bertanggungjawab dan berusaha meningkatkan pendapatan mereka supaya dapat membayar semula hutang. Kami harap golongan muda menggunakan peluang ini sebaik mungkin," ujarnya. - UTUSAN ONLINE