Perdana Menteri menegaskan bahawa tidak salah untuk berpolitik namun mestilah ada moral di dalamnya dan bukan menjadikannya sebagai satu bentuk permainan.

Beliau juga memberi peringatan supaya hindarkan diri daripada membuat angkara yang akan mengundang penyesalan kerana pada akhirnya semua bakal bertemu dengan Allah SWT.

‘‘Janganlah kita nak berdakap dengan orang yang dulu kata kita macam-macam, tidak boleh, tidak betul. Biar pun tidak popular tetapi prinsip mesti ada, dalam hidup ini kita mesti ada maruah, ada prinsip.

‘‘Kalau nak main politik sikit-sikit itu tidak apa tetapi jangan politik yang tak berasaskan kepada moral, jangan politik hanya mainan, hari ini buat ini, esok buat lain, lusa buat lain. Tidak, itu bukan politik yang untungkan bangsa, agama dan negara,’’ katanya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Pesara-Pesara Polis dengan Perdana Menteri di di sini hari ini.

Sementara itu, Najib turut meng­imbau kembali kenangan mencuit hati beliau bersama anggota polis ketika menjadi Menteri Besar Pahang suatu ketika dulu.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika pihak polis sedang memburu pengganas komunis, Chong Chor di sekitar Pahang dan atas faktor keselamatan, polis telah me­nasihatkan beliau supaya mempunyai tiga nombor pendaftaran kereta bertujuan mengelirukan kumpulan pengganas itu.

‘‘Tetapi suatu hari ketika saya di Kuala Lumpur, anggota polis tanya sama ada kereta yang dinaiki milik saya. Saya tanya kenapa? Sebab nombor pendaftaran depan lain, belakang lain, pemandu saya silap letak nombor depan CU11, belakang CX3879.

‘‘Saya nak pujilah anggota polis itu tajam matanya. Dia suruh buka bonet, banyak lagi nombor pendaftaran,’’ ujarnya sambil di­sambut gelak tawa para hadirin.