Dr. Mahathir berkata, negara ini tidak pernah menyaksikan kebodohan sebegini dalam merundingkan hal kontrak.

“Kebodohan sebegini tak pernah dilihat dalam sejarah Malaysia,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh portal Malaysiakini pada sidang akhbar di sini.

Mahathir dalam rangka lawatan rasmi ke China bagi merundingkan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan dua projek saluran paip gas oleh Suria Strategic Energy Resources (SSER).

Menurut Mahathir, jumlah pampasan projek ECRL dan SSER masih belum diputuskan lagi tetapi menjangkakannya sebagai quite substantial (agak banyak).

“Kami perlu mencari jalan untuk keluar daripada projek ini (ECRL) dan sebolehnya pada kos yang paling sedikit dan kami perlu membayar pampasan.

“Tetapi ini kebodohan orang kita sendiri. Kita tidak boleh salahkan China untuk hal ini,” katanya.

Kata Mahathir, Najib bersetuju menandatangani kontrak dengan SSER dengan bayaran dibuat berdasarkan tempoh masa dan bukan kemajuan projek.

“Saya tidak pernah mendengar kontrak yang mana kamu membayar pada masanya tanpa kerja-kerja disiapkan. Selalunya, kami membayar berdasarkan kerja-kerja yang telah dibuat. Kebebalan apakah ini?” Soal beliau.

Sebelum ini, China menyatakan minat terhadap projek Kereta Api Laju Singapura- Kuala Lumpur (HSR) tetapi Putrajaya juga sedang mengkaji untuk menangguhkan projek berkenaan.

Perdana Menteri turut mengumumkan kedua-dua projek ditangguh sehingga benar-benar mampu melaksanakannya.

“Baik, jika kami perlu membayar pampasan, maka kami perlu membayarnya.

“Ini kebodohan perundingan sebelum ini. Kenapa perlu bersetuju dengan perjanjian sebegini yang mana kamu perlu membayar sejumlah pampasan yang besar jika kamu membatalkannya. Dalam semua perjanjian, perlu ada klausa menarik diri daripada perjanjian dan klausa itu perlu adil kepada kedua-dua pihak.

“Tetapi jika kami tidak dapat menyelesaikannya, kami perlu membayar sejumlah besar wang pampasan untuk HSR. Kami telah merundingkannya namun jika kami gagal melakukannya, maka pampasan (yang perlu dibayar) itu berjumlah lebih setengah bilion ringgit,” jelasnya.