Elok-elok baru nak reda, suhu di media sosial nampaknya naik balik apabila ada sejuta macam komen yang sebahagiannya berselindung di sebalik akaun palsu.

Dilanggar atau dipukul? Seeloknya polis dan kementerian terlibat sahaja maklumkan perkembangan kerana mereka yang menyiasat.

Ingatlah, kebencian adalah perkara paling mudah untuk dikembangkan berbanding kasih sayang yang memerlukan usaha untuk menyuburkannya.

Dengan membangkitkan perbezaan warna kulit, agama dan fahaman politik atau apa sahaja, kebencian boleh dimarakkan dengan mudah. Ada saja sebab dan ini bukan pelik kerana dalam satu keluarga pun boleh wujud konflik.

Sebab itu, Malaysia dan Singapura sebagai contoh, mempunyai formula tersendiri dalam menguruskan kepelbagaian latar belakang rakyatnya.

Biar pun sering menjadi sasaran kritikan pertubuhan hak asasi Barat, Singapura misalnya tetap jalan terus dengan undang-undang pencegahan peninggalan British termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah pun dimansuhkan Malaysia.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), beberapa akta lagi yang dianggap menyekat kebebasan termasuk Akta Hasutan dan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan dimansuhkan selain meminda Akta Pencegahan Jenayah (Poca) dan lain-lain.

Kalau ikutkan Akta MKN, kerajaan ada kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan bagi tempoh tertentu seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 18 (1) dan apabila isu kekecohan pemindahan kuil di Subang Jaya itu timbul, ada pengamal undang-undang melihat kepada peruntukan tersebut untuk mengawal keadaan.

Justeru, kejadian di Subang Jaya itu yang pertama seumpamanya dalam era WhatsApp benar-benar menguji rakyat Malaysia, tetapi melihat komen di media sosial dan ulasan sebahagian pemimpin politik, persoalannya bersediakah kita untuk bebas daripada akta-akta tersebut atau sebahagian daripadanya masih diperlukan? -UTUSAN ONLINE