Tetapi amat menghairankan, meskipun pelbagai aktiviti penguatkuasaan seperti operasi dan serbuan dijalankan membabitkan banyak agensi, keadaannya tetap begitu malah semakin kronik.

Maka timbul persoalan, apa sebenarnya menjadi punca kepada masalah tersebut yang bagaikan tiada kesudahan, adakah warga asing ini ‘kebal’, degil ataupun dilindungi.

Mengapa dikatakan kronik? Kerana kalau dahulu, warga asing ini jadi pekerja, tetapi sekarang mereka sudah menjadi ‘bos’, lebih kritikal kini mereka yang memegang kuasa mengawal harga jualan hasil pertanian, ternakan dan tangkapan laut di negara ini.

Suka atau tidak, inilah rea­li­tinya kerana pasar borong ini ibarat ‘jantung’ kepada aktiviti dagangan barangan mentah dan makanan negara yang melibatkan transaksi jutaan ringgit setiap hari.

Ramai yang tidak sedar, dominasi warga asing itu secara tidak langsung menyaksikan pemain industri terma­suk pengedar, pengeksport, pembekal, pasar raya besar sehinggakan ke sekecil-kecil perniagaan runcit terpaksa menjual mengikut harga pasaran ditetapkan ‘tauke’ di pasar borong.

Kalau pasar borong kata mahal, mahallah barangan dijual kepada pengguna dan begitu juga sebaliknya. Rantaian itu juga membuatkan kerajaan sukar untuk mengawal harga barangan dan pada akhirnya mereka ini bukan sahaja boleh digelarkan ‘bos’ mungkin ‘raja’ sekiranya 100 peratus golo­ngan ini dapat menguasai pasaran di pasar borong.

Sehubungan itu, kerajaan wajar merangka sekali gus mengambil tindakan drastik bagi memastikan inisiatif yang lebih efektif daripada membiarkan fenomena tersebut menjadi lebih parah.

Banyak sudut perlu dikaji ke arah memantapkan pe­nguat­kuasaan di lokasi terbabit dan ada juga yang mencadang­kan agar pendekatan strategi la­utan biru dilaksanakan.

Memandangkan serbuan berkala sebelum ini seperti mencurah garam ke laut, mungkin sudah tiba masanya kerajaan mengarahkan agensi dan jabatan berkaitan supaya meletakkan pegawai dan anggota di pasar borong terbabit tertakluk kepada bidang kuasa masing-masing.

Sebagai contoh, wakil Jabatan Imigresen, polis, pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) boleh ‘berkampung’ di pasar borong terbabit, besar kemungkinan, tiada siapa yang berani me­langgar peraturan.

Kalau tidak jalan juga mungkin ada masalah lain dan kalau perlu wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga boleh dilibatkan dalam usaha ‘lautan biru’ itu.

Malah ini bukan kali pertama strategi lautan biru diapli­kasikan dalam mena­ngani isu-isu kritikal seperti ini. Ambil contoh mudah seperti pemantauan di sempadan boleh dikatakan semua agensi penguat­kuasaan terlibat.

Apapun, penguat kuasa perlu serius dan komited dalam menangani masalah tersebut kerana penguatkuasaan merupakan nadi kepercayaan rak­yat kepada kerajaan.