Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ketika ini, adalah lebih baik untuk semua pihak melahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan menghulurkan bantuan.

“Sehubungan itu, saya menyambut baik sebarang bantuan kepda mereka yang kehilangan rumah serta harta benda dalam kejadian kebakaran berkenaan.

“Keprihatinan utama kita ialah kebajikan mangsa. Oleh itu, tunjukkan kepada mereka rasa ihsan dan timbang rasa bukan terpengaruh dengan khabar angin yang tidak berasas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung dakwaan sesetengah pihak yang tular di media sosial menyifatkan kejadian kebakaran membabitkan dua lokasi secara berturut-turut itu adalah dirancang dan mempunyai motif tersembunyi.

Lookasi itu ialah di Kampung Cenderamata 2, Kota Kinabalu yan musnah pada 24 Julai lalu membabitkan lebih 150 buah rumah yang didiami 800 mangsa manakala semalam, dianggarkan 300 buah rumah di dua perkampungan atas air Semporna iaitu Kampung Air Hujung dan Kampung Air Tengah turut musnah membabitkan lebih 2,000 mangsa.

Mohd. Shafie berkata, tindakan segera sedang diambil oleh Majlis Daerah Semporna (MDS) bagi memastikan mereka  yang terjejas mendapat tempat perlindungan dan kemudahan pemulihan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din dalam sidang akhbar hari ini berkata, kertas siasatan telah dibuka oleh pihaknya untuk menyiasat setiap aspek insiden berkenaan termasuklah dakwaan-dakwaan yang timbul dalam media sosial. - UTUSAN ONLINE