Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebagai kementerian yang bertanggungjawab ke atas Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan memahami cabaran dilalui penoreh dan pekebun kecil, pihaknya telah berusaha gigih memperjuangkan kebajikan mereka.

“Melihat situasi semasa, melibatkan penoreh dan pekebun kecil getah, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telah memperjuangkan keperluan untuk golongan sasar ini diberi Bantuan Musim Tengkujuh bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Melalui usaha sama antara kementerian kami dan Kementerian Kewangan, kerajaan telah membuat keputusan untuk memperuntukkan RM164,783,400 bagi membiayai Bantuan Musim Tengkujuh kepada 274,639 pekebun kecil getah yang berdaftar dengan RISDA,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sebanyak 274,639 pekebun kecil getah yang berdaftar dengan RISDA akan menerima Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM600.

Kata beliau, bantuan tersebut akan dibayar secara dua peringkat iaitu sebanyak RM300 pada akhir tahun ini dan baki RM300 lagi pada awal tahun depan.

Utusan Malaysia sejak beberapa bulan lalu aktif menyiarkan rintihan golongan pekebun yang mengalami tekanan kewangan ekoran pelbagai implikasi kejatuhan harga komoditi.

Menerusi pelbagai laporan yang disiarkan, Utusan Malaysia mendekati golongan pekebun di seluruh negara untuk mendapatkan gambaran sebenar kesukaran dialami mereka. - UTUSAN ONLINE