Sambutan tahunan itu untuk mengenang dan menghargai sumbangan para jururawat yang memainkan peranan penting dalam perkhidmatan kesihatan setiap negara.

Tarikh tersebut tidak harus dilupakan sebagai menghargai individu yang banyak berkorban untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa berada dalam keadaan sihat.

Setimpal dengan pengorbanan jururawat, maka soal gaji, elaun, tempat kerja yang kondusif, kemudahan lengkap, keselesaan di tempat kerja dan peluang melanjutkan pelajaran untuk golongan itu perlu diberikan perhatian.

Itu merupakan antara perkara yang diperjuangkan oleh Kesa­tuan Jururawat Malaya yang kini mempunyai hampir 23,000 ahli di seluruh negara.

Presidennya, Norhayati Abdul Rashid berkata, secara keseluruhannya perjuangan kesatuan adalah memastikan kebajikan ahli-ah­linya terbela, sesuai dengan jasa dan pengorbanan jururawat yang cukup besar dari segi masa dan tenaga.

Menurutnya, kebajikan jurura­wat­ perlu diberikan perhatian kerana kerjaya mereka cukup mulia dan tidak semua orang mampu menjalankan tugas-tugas sedemikian.

Mengenai soal gaji Norhayati berkata, antara aspek yang perlu dikaji adalah elaun asas jururawat daripada RM100 dinaikkan kepada RM300 dan perkara itu sedang dibincangkan dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

“Gaji jururawat harus dikaji apatah lagi ketika kenaikan harga barang dan harga rumah. Jururawat wajar menikmati gaji yang setimpal kerana mereka bekerja tanpa mengira masa.

“Hospital tidak akan tutup selepas pukul 5 petang. Jururawat seperti anggota polis, bekerja se­panjang masa termasuklah hari cuti umum kerana orang sakit tidak kira cuti atau tidak,” kata­nya di sini.

Menurut Norhayati, selain itu, kesatuan juga mencadangkan supaya pada masa akan datang jururawat yang bertugas pada waktu malam diberikan elaun khas sebagai daya tarikan untuk mereka bertugas pada masa tersebut.

“Bukan mudah untuk mereka bertugas di luar waktu pejabat apatah lagi kepada yang sudah berkeluarga, jadi perlu ada daya tarikan,” katanya.

Turut menjadi perhatian kesatuan adalah soal melanjutkan pelajaran dalam kalangan jururawat untuk meningkatkan kema­hiran.

Dalam hal itu menurut Norha­yati, peluang untuk melanjutkan pelajaran sememangnya ada, na­mun disebabkan kekangan tugas seharian dan jumlah petugas yang terhad, maka itu menjadi halangan.

Jelasnya, walau apa pun caba­rannya, jururawat tetap menja­lankan tugas dan amanah menjaga pesakit dengan rawatan op­ti­mum.

“Jururawat tidak boleh memberikan rawatan substan­dard kerana inilah ikrar kami untuk menjaga pesakit dengan sebaik-baiknya,” katanya.