Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, acara itu bukan sahaja bertentangan dengan norma-norma manusia biasa malah boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan membawa ancaman terhadap keamanan negara.

“Saya arahkan Ketua Pengarah Imigresen tidak memberikan visa dan kebenaran kepada mereka yang terlibat dengan penganjuran parti itu untuk memasuki negara ini,” katanya kepada para pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-11 dan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Kebangkitan Radikalisme dan Keganasan Melampau (SAMMRRVE) di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut, beliau yang juga Menteri Dalam Nege­ri berkata, Bukit Aman telah memberi laporan kepadanya tentang perkara tersebut dan mengesahkan belum menerima sebarang permohonan untuk penganjuran parti itu.

Menurutnya, pihak polis juga akan memantau perkara itu dan memastikan penganjuran acara tersebut yang mendapat bantahan daripada pelbagai pihak tidak diadakan.

“Kita amat prihatin dengan bantahan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pe­mimpin politik berhubung pesta itu,” ujarnya.