Ketua Setiausaha Kementerian itu, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, satu surat tunjuk sebab bertarikh hari ini juga dikeluarkan kepada akhbar berkenaan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.

Menurutnya, tempoh tiga hari diberikan kepada penerbit akhbar itu untuk menjawab surat tunjuk sebab dan tindakan selanjutnya akan diambil berdasarkan peraturan serta prosedur yang ditetapkan.

“Karikatur tersebut mungkin memudaratkan ketenteraman awam kerana menggalakkan perasaan niat jahat, perseteruan, permusuhan, kebencian dan prasangka buruk terhadap orang atau kaum lain.

“Ia juga secara tidak langsung seolah-olah telah mempersendakan Parlimen dan Islam kerana Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 yang digambarkan dalam karikatur itu adalah berkait rapat dengan hal ehwal agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.