Seorang petani,  Mat Taib Mat Hussin, 56, berkata, kawasan bendang itu tidak menerima bekalan air sejak lebih dua ming­gu lalu menyebabkan keadaan sawah semakin kering-kontang.

Menurutnya, ketiadaan bekalan air menyebabkan tumbesaran padi terencat dan sering diserang penyakit yang sukar dikawal dan dalam masa sama sukar untuk membuat aktiviti meracun.

“Air dalam parit di sekitar sawah keseluruhannya sudah kering berikutan kemarau. Kalau mengikut jadual penanaman, sebulan lagi padi kami sudah boleh tuai namun tanaman itu akan mati sekiranya masalah bekalan air gagal diatasi segera.

“Sumber air dari empangan Sungai Yong dilihat mencukupi namun keadaan pam yang tidak berfungsi untuk mengalirkannya ke bendang memungkinkan kami berdepan dengan risiko kerugian,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kemasin-Semerak (IADA), Nik Hamadi Nik Abdullah berkata, pintu kawalan air pasang surut ditutup 24 jam untuk meningkatkan paras air di sungai-sungai utama di sekitarnya.

Katanya, langkah itu sebahagian daripada persiapan menghadapi kemungkinan musim kemarau berpanjangan dan mengurangkan risiko keputusan bekalan air  kepada penduduk di daerah ini mulai sekarang.

“Ia bertujuan bagi menampung keperluan seharian lebih 100,000 penduduk di Pasir Puteh termasuk memastikan mereka yang menceburi sektor pertanian dan keusahawanan tidak terjejas teruk,” katanya.

Hamadi berkata, lebih membimbangkan jika bekalan air ke rumah-rumah dan premis perniagaan terjejas apabila pam air di loji di Kampung Wakaf Bunut milik Air Kelantan Sdn. Berhad (AKSB) tidak dapat mengepam air dari Sungai Rasau.