Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Moha­med Affandi Raja Mohamed Noor berkata, dalam masa sama, pihaknya juga akan saling berinteraksi dan bertukar maklumat bersama kerajaan Filipina berhubung kejadian tersebut.

Jelasnya, beliau difahamkan tentera Filipina telah berjaya menguasai semula bandar Marawi yang sebelum ini ditawan militan Daesh dan mengisytiharkan darurat selama 60 hari, manakala saki-baki anggota Daesh yang terselamat telah melarikan diri dan dibimbangi menuju ke negara ini.

“Saya bersama Filipina sentiasa dalam perhubungan, sentiasa bertukar maklumat kerana melalui maklumat yang diterima akan menentukan apakah tindakan yang sewajarnya kita buat.

“Atas dasar takut, mereka melarikan diri (berkemungkinan ke Malaysia), kita akan pastikan tiada elemen-elemen penyusupan berlaku dan kita akan tentukan keselamatan negara dan keselamatan rak­yat terpelihara,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Tabung Ihya Ramadan Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Yang turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkipli Kassim; Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Pang­lima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Datuk Seri Affendi Buang.

Dua rakyat Malaysia iaitu Abdurahman Asmawi dari Kelantan dan Dr. Kamsa Yahya dari Kedah yang dipercayai menganggotai kumpulan militan Daesh dikatakan antara 13 yang terbunuh dalam pertempuran bersama tentera Fi­lipina di wilayah selatan Mindanao, semalam.

Sumber berkata, militan dari Indonesia, Sheikh Ayman Marjuki dan Sheikh Ahmad Belfaki yang berasal dari Arab Saudi dipercayai turut terkorban dalam pertempuran di bandar Marawi itu.