Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad berkata, fosil yang terdapat Empangan Paya Peda Hulu Besut jarang ditemui di tempat lain di dunia ini dan apa yang membuatkannya lebih unik ialah kerana mempunyai struktur tumbuhan yang lengkap dari akar hingga pucuk dan debunga.

“Hasil daripada kajian awal yang dilakukan, potensi untuk menemui fosil serangga, ikan dan haiwan lain agak tinggi apabila Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) kembali melakukan kerja lapangan kelak. Adalah wajar kawasan itu dipulihara,” katanya selepas menerima kunjungan 40 orang pelajar luar negara dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di kediamannya di Kampung Alor Keladi.

Semalam, pelajar-pelajar berkenaan melakukan lawatan ke tapak penemuan fosil tersebut.

Fosil yang dipercayai berusia antara 270 hingga 350 juta tahun itu ditemukan tiga tahun lalu oleh sekumpulan pengkaji bumi di satu kawasan bukit berhampiran projek pembinaan empangan tersebut yang telahpun diwartakan sebagai objek warisan.

Katanya, bagi memanfaatkan penemuan bermakna fosil yang menyimpan sejarah alam itu, JMG akan bekerjasama dengan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA KETARA) untuk membuka sebuah galeri.

“Galeri ini akan memuatkan fosil yang dijumpai di empangan tersebut di samping maklumat penting berkaitan biodiversiti serta replika fauna yang terdapat di kawasan sekitarnya.

“Bantuan kepakaran daripada UniSZA dan juga Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan diminta untuk melengkapkan galeri tersebut agar dapat dibuka kepada umum sebagai sumber pendidikan,” kata beliau lagi.

Di samping itu, Nawi memberitahu, cadangan untuk menjadikan sebahagian daripada daerah Besut dan Setiu sebagai Geopark Kebangsaan juga telah dimasukkan dalam Rancangan Struktur Negeri Terengganu (2020-2035). - UTUSAN ONLINE