Pakar Klimatologi dan Ose­anografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Fredolin Tangang berkata, bencana alam seperti banjir adalah bersifat tidak boleh dikawal walaupun ramalan kaji cuaca sudah dikeluarkan sebagai langkah pencegahan.

“Merujuk kepada banjir yang melanda utara negara terutama di Pulau Pinang, sekarang kita sedang berada dalam tempoh awal monsun timur laut. Tekanan udara rendah yang terbentuk di Laut China Selatan, bergerak ke Teluk Siam sete­rusnya ke utara Semenanjung.

“Kejadian cuaca alam bersifat ekstrem ini dilihat semakin kerap berlaku kerana suhu glo­bal semakin meningkat. Kajian menunjukkan setiap satu darjah peningkatan suhu itu akan me­­ningkatkan tujuh peratus kelembapan udara. Kawasan yang menjadi lokasi terkumpulnya kelembapan ini akan dilanda hujan lebat yang akhirnya membawa kepada bencana banjir,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambah Fredolin lagi, penduduk di kawasan berpotensi dan tidak berpotensi perlu peka dengan amaran awal yang dike­luarkan Jabatan Meteorologi dari semasa ke semasa.

“Saya nasihatkan kepada orang ramai seandainya hujan turun dengan lebatnya dalam tempoh yang panjang, walaupun di kawasan itu bukan kawasan potensi banjir, mereka perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Faktor alam memang tidak boleh dikawal tetapi boleh diminimumkan kesannya melalui langkah-langkah pencegahan awal,” katanya.