Hasil tinjauan Mingguan Malaysia di CIQ Rantau Panjang, dekat sini dan Bukit Kayu Hitam, Kedah mendapati kenderaan di dua laluan itu amat mudah keluar masuk ke Thailand berikutan tiada pemeriksaan ketat.

Situasi tersebut dilihat memberi ‘ruang’ kepada penyeludup untuk membawa keluar barangan bersubsidi khususnya minyak masak.

Di Pantai Timur, mengikut prosedur ditetapkan, sebelum memasuki Thailand, orang ramai perlu melalui tiga pemeriksaan bermula dengan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) di Cabang Empat Salam, di sini diikuti Kastam di CIQ Rantau Panjang.

Orang ramai juga perlu me­nempuh pemeriksaan terakhir di hadapan pintu masuk ke negara berkenaan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA).

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Che Din, 35, berharap anggota keselamatan dapat memperketatkan kawalan untuk masuk ke negara berkenaan.

“Saya minta kalau boleh periksa dengan rapi kenderaan khususnya pikap dari Thailand. Ini bagi memastikan mereka tidak membawa keluar barangan bersubsidi ke Thailand yang pastinya akan merugikan rakyat tempatan malah pemeriksaan terhadap kenderaan Thailand yang masuk ke negara ini juga perlu diperketatkan,” katanya.

Sementara itu, Komander Aksem Kelantan, Mohd. Asri Yahya ketika dihubungi berkata, tugas utama pihaknya ialah mengekang atau menghalang aktiviti penyeludupan dari Thailand masuk ke negeri ini.

“Untuk aktiviti penyeludupan keluar dari negeri ini ke Thailand pula, kami berdepan sedikit kesukaran. Selagi tidak melintasi sempadan, Aksem sukar untuk mengambil tindakan kerana perkara ini melibatkan isu perundangan,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini me­laporkan penyeludup minyak masak mendapat kerjasama ‘orang dalam’ bagi membantu memudahkan kegiatan tersebut berjalan.

Sementara itu, tinjauan di Bukit Kayu Hitam mendapati masih ada ruang untuk diperbaiki dalam urusan pemeriksaan kenderaan di sempadan keluar ke Thailand.
Setiap kenderaan yang ingin memasuki negara jiran itu akan melalui sekatan jalan Aksem kira-kira 100 meter dari CIQ Bukit Kayu Hitam, namun tidak semua diperiksa secara menyeluruh termasuk di bahagian tempat meletak barang.
Di CIQ itu pula, pegawai dan kakitangan kastam hanya ditugaskan di lorong masuk ke tanah air sementara untuk lorong keluar ke Thailand, tiada langsung pegawai bertugas membuat pemeriksaan.