Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ber­kata, jarak antara Marawi de­ngan Lahad Datu dan Tawau hanya mengambil masa 45 minit perjalanan menyebabkan faktor mereka melarikan diri ke Malaysia dilihat tinggi.

“Aspek keselamatan di wilayah Sabah selain aset ketenteraan kita berada dalam keadaan berjaga-jaga. Kita tidak mahu kumpulan militan yang bertempur dengan tentera Filipina menyusup masuk ke negara ini.

“Pertempuran di Marawi sudah berlanjutan hampir tiga bulan dan mengakibatkan kira-kira 220,000 penduduknya menjadi pelarian. Jarak antara Marawi dan Lahad Datu serta Tawau pula hanya kira-kira 45 minit sahaja.

“Kerajaan memantau perkembangan tersebut agar negara ini tidak dijadikan lokasi mereka (militan) melarikan diri,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassin dan seluruh kepemimpinan UMNO bahagian tersebut.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Hishammuddin memberitahu, pihaknya telah mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memantau anggota dan pegawainya agar tidak terlibat dengan pengganas Daesh di Marawi.

Katanya, pihaknya sentiasa me­ngikuti perkembangan Daesh selepas negara kuasa besar dunia yang lain dilihat seolah-olah tidak mampu untuk mencari jalan penyelesaian menangani ideologi kumpulan pengganas tersebut.

“Sekarang kita memantau ang­gota kita yang mungkin terpengaruh dengan ideologi Daesh yang kejam ini. Mereka bakar orang sesama Islam hidup-hidup, mereka sembelih dan muat naik di laman-laman sosial.

“Kini kumpulan itu cuba bertapak di bandar Marawi, ia merupakan perkara yang saya sendiri minta kepemimpinan ATM pantau secara dekat anggota dan pegawai yang mungkin terpengaruh de­ngan ideologi itu,” katanya.