Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, itu adalah antara sifat dalam melaksanakan ibadah tersebut yang mana jemaah haji tentulah berhadapan dengan ujian kesabaran, rasa tidak selesa, mahu melahirkan kemarahan dan sifat negatif dalam melaksanakan manasik haji termasuklah berada di Arafah dan Mina ini.

"Sebab itu dalam banyak kursus haji, kita telah memberitahu bahawa cabaran sebenar haji adalah di Arafah dan Mina," katanya selepas mengadakan lawatan di Pusat Rawatan Tabung Haji Syisyah di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah; Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan beberapa Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji.

Katanya, walaupun kerajaan sentiasa berusaha untuk tuntutan jemaah haji dan memastikan mereka berada dalam keadaan yang baik tetapi cabaran dan ujian yang dihadapi pada jemaah ketika di Arafah dan Mina ada yang di luar kawalan.

"Apabila kuota dinaikkan, kita menyambut baik. Pada masa yang sama kita harus faham bahawa sempadan Arafah dan Mina adalah kekal begitu dan tidak berubah.

"Maka khemah di Arafah dan Mina juga begitu kerana saiz tapak yang terhad.

"Tentulah merasa tidak selesa dan sebagainya. Maka disinilah kesabaran tinggi jemaah haji amat dituntut," ujarnya.

Oleh itu katanya, diharapkan semua jemaah haji mereka bersikap bertimbang rasa antara satu sama lain.

"Pada keadaan yang kita lihat tentulah nampak sempit (di Mina) dan kita maklumkan dan berikan gambaran semasa taklimat dan kursus di tanahair lagi. Ingatlah bahawa ujian haji ini adalah juga ujian perasan. Jagalah hati dan manasik haji ini," ujarnya. - UTUSAN ONLINE