Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Kawal perasaan hadapi ujian

Hayati pengertian ibadah haji ketika berdepan situasi tidak selesa

ASYRAF WAJDI DUSUKI dan Johan Abdullah melawat pesakit di wad
ASYRAF WAJDI DUSUKI dan Johan Abdullah melawat pesakit di wad lelaki Pusat Rawatan Tabung Haji Syisyah dekat Mina semalam.

MINA 3 Sept. - Dalam menghayati pengertian ibadah haji, jemaah haji Malaysia harus mene­rima setiap ujian serta mengawal perasaan terutama apabila berhadapan situasi tidak selesa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana jemaah haji tentu berhadapan de­ngan ujian kesabaran, rasa ti­dak selesa, mahu melahirkan ke­marahan dan sifat negatif dalam melaksanakan manasik ha­ji termasuk semasa berada di Arafah dan Mina.

“Sebab itu dalam banyak kur­­sus haji, kita memberitahu bahawa cabaran sebenar haji ada­lah di Arafah dan Mina,” katanya selepas mengadakan lawatan di Pusat Rawatan Tabung Haji Syisyah di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah; Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan beberapa Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji.

Katanya, kerajaan sentiasa ber­usaha untuk memenuhi tuntutan jemaah haji dan memastikan me­reka berada dalam keadaan yang baik.

“Apabila kuota dinaikkan, ki­ta menyambut baik apa yang berlaku itu. Pada masa sama kita harus faham bahawa sempadan Arafah dan Mina adalah kekal begitu dan tidak berubah.

“Maka khemah di Arafah dan Mina juga begitu kerana saiz tapak yang terhad. Tentulah berasa ti­dak selesa dan sebagainya. Maka di sinilah kesabaran tinggi jemaah haji amat dituntut,” ujarnya.

Oleh itu katanya, menjadi ha­rapan kepada semua jemaah haji supaya mereka bersikap bertimbang rasa antara satu sama lain.

“Pada keadaan yang kita lihat tentulah nampak sempit (di Mina) dan kita maklumkan dan berikan gambaran semasa taklimat dan kursus di tanah air lagi. Ingatlah bahawa ujian haji ini adalah ju­ga ujian perasaan. Jagalah hati dan manasik haji,” ujarnya.

Beliau juga memberitahu, ada dalam kalangan jemaah haji Malaysia telah keluar melontar mengikut jadual mereka sendiri.

“Akibatnya berlaku jemaah yang tersasar dan petugas Tabung Haji terpaksa menggerakkan pasukan untuk mencari jemaah yang tersasar itu,” beritahunya.

Dalam pada itu, seramai 841 orang telah dimasukkan ke wad di pusat rawatan ini sehingga hari ini manakala 121 orang pernah dirawat di hospital Arab Saudi sekitar Tanah Suci.

Jumlah kematian pula dilaporkan seramai 24 orang sehingga hari ini.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang tidak mengenakan sebarang caj perubatan kepada jemaah ha­ji khususnya dari Malaysia walaupun dalam kes yang kronik.

“Saya dapati tahap profesional doktor dan jururawat di hospital Tanah Suci ini begitu tinggi dan doktor kita dibenarkan bersama memantau situasi pesakit di hos­pital Arab Saudi,” jelasnya.

Esok merupakan hari terakhir je­maah haji Malaysia melakukan iba­dah melontar di Kompleks Jamrah se­belum kesemuanya ber­gerak ke Mekah bagi menyempurnakan ta­waf dan sai. – UTUSAN

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain