Perdana Menteri berkata, bahasa kebangsaan juga merupakan jati diri paling penting sebagai rakyat Malaysia.

"Saya masih ingat lagi ketika saya menjadi Menteri Besar Pahang, ada wakil rakyat menyebut ke bawah luli Tunku, patutnya disebut duli Tuanku.

"Kita tidak boleh begini kerana sudah sekian lama merdeka, apabila minta kita tambah SJKC, saya minta semua penuntut untuk fasih dalam bahasa Melayu," katanya berucap pada Perhimpunan Patriotik Masyarakat Cina anjuran MCA di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Seramai 16,000 masyarakat Cina dari seluruh negara menghadiri majlis tersebut yang diadakan sempena Hari Malaysia serta Hari Kebangsaan Ke-60.

Menurut Najib, bahasa merupakan salah satu ramuan asas untuk membentuk kestabilan dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

"Dengan ini kita faham soal perpaduan ialah jati diri kita yang salah satu ramuannya ialah kita boleh berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar de­ngan kehendak masyarakat Cina yang mahukan akses lebih ba­nyak kepada peluang ekonomi serta pendidikan yang berkualiti.

"Kerajaan akan meneruskan polisi yang inklusif serta adil untuk semua tetapi perkara ini hanya akan dapat dicapai dengan sokongan masyakat Cina terhadap kerajaan," ujarnya.

Oleh itu, kata beliau, masya­rakat Cina perlu mempu­nyai wakil yang kuat di dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Pada masa ini hanya enam peratus wakil masyarakat Cina di dalam kerajaan, terlalu sedikit jadi kalau suara Cina lebih kuat di dalam BN, kerajaan ini akan menjadi lebih baik pada masa akan datang," katanya.