Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, Kementerian Pendidikan juga bersetuju bahawa pemakaian kasut dan stoking berwarna hitam akan dilaksanakan secara beransur-ansur bermula pada sesi persekolahan tahun 2019 dan diperluaskan pada tahun 2020.

“Dalam tempoh transisi tersebut, murid-murid masih dibenarkan untuk memakai kasut dan stoking berwarna putih.

“Justeru, pihak sekolah diminta untuk tidak mengadakan peraturan atau memaksa murid-murid untuk memakai kasut berwarna hitam dalam tempoh transisi ini,” katanya menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Bilangan 10 Tahun 2018 yang bertarikh hari ini.

Menurut surat pekeliling itu juga, kasut hitam bagi murid-murid sekolah rendah dan menengah hendaklah diperbuat daripada kanvas atau bahan sintetik lain seperti ‘nylon’ dan ‘polyster’. - UTUSAN ONLINE