Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, ujian berkenaan telah dilaksanakan buat kali pertamanya ke atas 116 pembantu penguasa yang baharu menamatkan kursus asas baru-baru ini selain 56 pegawai kastam gred WK48 dan akan diperluaskan kepada semua warga jabatan secara berperingkat-peringkat.

Menurutnya, ujian IAT itu dilihat penting untuk dilaksanakan kerana ia mampu memberi impak besar terhadap penempatan kerja, kenaikan pangkat dan kebolehan diri kesemua anggota serta pegawai.

“Keputusan ujian ini akan digunakan bagi tujuan penempatan kerana kadang kala terdapat pegawai yang mempunyai rasa kasihan terhadap seseorang walaupun orang itu melanggar peraturan. Jadi, pegawai seperti ini kurang wajar sekiranya ditempatkan di bahagian penguatkuasaan.

“Oleh yang demikian, ujian ini dijangka banyak membantu pihak jabatan dari segi penempatan selain memantapkan integriti anggota serta pegawai,” katanya dalam sidang akhbar selepas menutup Kursus Asas Pembantu Penguat Kuasa Kastam Gred WK19 Tahun 2017 di Akademi JKDM Bukit Baru, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan), Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/GST), Datuk Zulkifli Yahya.

Jelas Subromaniam, walaupun ujian itu diperkenalkan kepada anggota-anggota yang baru memasuki skim perkhidmatan kastam namun ia akan dikembangkan kepada semua anggota.

“Kastam merupakan agensi penguatkuasaan pertama yang melaksanakan ujian ini dan kita berharap ia dapat membantu jabatan untuk memartabatkan integriti selain memastikan jabatan bebas daripada gejala rasuah dan seterusnya menaikkan imej kastam dalam kala­ngan masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, kebanyakan kes salah guna kuasa melibatkan anggota serta pegawai kastam berlaku di pintu-pintu masuk utama negara selain bahagian taksiran barang-barang dan pemeriksaan penumpang.

“Kastam bagaimanapun telah mewujudkan mekanisme pengurusan risiko rasuah (CRM) supaya jabatan dapat melihat dan menyemak semula prosedur kerja agar ia dapat dimantapkan supaya ruang serta peluang untuk berlakunya salah guna kuasa termasuk gejala rasuah dapat dikurangkan.

“Mekanisme ini baharu dilancarkan dan masih dalam fasa pertama namun kita percaya dengan adanya CRM ditambah pula dengan IAT, kastam boleh bergerak maju kerana masalah guna kuasa ini merupakan isu yang dipandang berat oleh pengurusan tertinggi kerana ia menyumbang kepada ketirisan hasil,” tambahnya.