Rampasan berkenaan membabitkan 2,700 beg beras bernilai RM405,000 termasuk cukai dan duti ditaksirkan sebanyak RM132,313.50.

Pengarah JKDM negeri, Mohammad Hamidan Maryani berkata, rampasan itu dijalankan sepasukan sembilan pegawai dan anggota kira-kira pada pukul 7 malam.

“Bertindak atas risikan, sepasukan Pegawai Kastam, Stesen Penguatkuasaan Pasir Gudang telah menjalankan pemeriksaan ke atas tiga buah kontena di Pelabuhan Pasir Gudang.

“Hasil pemeriksaan mendapati isi kontena berbeza dengan barang yang diikrarkan iaitu Ponni Steamed Rice berbanding Putty Powder,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat JKDM negeri di sini, hari ini.

Mohammad Hamidan berkata, barangan tersebut juga merupakan barang larangan import yang memerlukan lesen import daripada Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras Negara, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Bagaimanapun ketika ini tiada tangkapan berjaya dibuat dan siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti dalang terlibat.

“Saya turut menyeru orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan kerana kerjasama orang ramai sangat dialu-alukan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.