Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, ini kerana kos utiliti air yang terpaksa ditanggung kini adalah sangat tinggi dan semua itu menggunakan peruntukan kerajaan.

Tegas beliau, walaupun begitu, caj tarif air Malaysia masih merupakan antara yang terendah di rantau Asia Tenggara jika dibandingkan di Singapura atau Thailand.

“Tadi saya kata untuk bina utiliti ini (Loji Rawatan Kumbahan Serantau 2) kita belanja hampir RM900 juta tetapi kita bina guna peruntukan kerajaan untuk kebaikan penduduk.

“Kita memberi subsidi pada amaun yang cukup besar bagi memastikan harga (air) rendah, harga tidak boleh rendah selama-lamanya kerana berlaku perubahan ekonomi dan nilai ringgit sudah turun,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke Loji Rawatan Kumbahan Serantau 2, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Xavier menegaskan secara keseluruhan banyak negeri sudah menyatakan persetujuan untuk menaikkan tarif air, namun berapa nilai kenaikan masih belum ditentukan.

Ujarnya, bagi negeri-negeri yang belum lagi membuat sebarang keputusan perbincangan bersama akan terus dijalankan.

“Tiada perkara yang mereka tidak setuju, ini ialah keputusan kerajaan dengan SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) sekali dan kita nak buat sesuatu yang terbaik,” katanya.

Beliau menambah, kajian berkenaan kenaikan tarif air masih dijalankan dan kini berada di peringkat perbincangan bersama agensi-agensi namun begitu bila keputusan akhir kajian akan dikeluarkan masih belum diketahui.