Cakera padat lagu dikir barat dan loghat Kelantan mudah di dapati
Cakera padat lagu dikir  barat dan loghat Kelantan mudah di dapati di pasar-pasar malam dan dijual dengan harga murah di Kelantan.

Penerbitan album dalam bentuk kaset ketika itu dipelopo­ri oleh sebuah syarikat dipanggil Sing Chong yang beroperasi di Rantau Panjang. Syarikat itu merupakan peniaga dan pengedar barangan elektrik terkemuka di Kelantan.

Dijual pada harga RM2 hingga RM5 seunit, kaset itu dianggap mahal, namun masih tidak menghalang orang ramai memilikinya demi memastikan mereka dapat menikmati lagu-lagu dikir barat kegemaran di rumah pada bila-bila masa.

Sing Chong dikatakan membawa alat perakam untuk merekodkan setiap persembahan dikir barat dan tidak diketahui berapa jumlah yang dibayar kepada penyanyi atau kum­pulan pendikir itu kecuali artis di bawah naungannya.

Pensyarah Fakulti Seni Per­sembahan Universiti Tek­nologi Mara (UiTM) Shah Alam juga aktivis seni dikir barat, Mat Gil Mat Dali berkata, usaha Sing Chong menerbitkan album dikir barat merupakan satu bentuk transformasi yang mencetus feno­mena tersendiri.

“Sebelum ini, peminat terpaksa mendengar radio atau pergi ke pesta-pesta untuk me­nonton secara langsung per­sembahan pendikir yang mereka minati.

“Jadi, apabila Sing Chong menerbitkan album dikir barat, semua orang teruja. Sambutan cukup hangat walaupun ketika itu masih ramai yang belum mempunyai pemain kaset sendiri,” katanya.

Mat Gil atau lebih dikenali dengan nama Pok Su Agil memberitahu, Sing Chong yang menjadi pengedar tunggal kaset dan mendominasi industri muzik Kelantan mengikat empat orang pendikir tersohor untuk bernaung di bawahnya iaitu Daud Bukit Abal, Aripin Ana, Mat Yeh dan Tok Dor Jali.

Difahamkan, dalam tempoh setahun, Sing Chong mengeluarkan sekurang-kurangnya tiga album setiap artisnya yang dipasarkan sendiri menerusi rangkaian kedai elektriknya di seluruh negeri.

“Artis-artis itu tidak mengeluarkan sebarang belanja dalam pembikinan album, sebaliknya semua ditanggung Sing Chong selain menerima gaji bulanan RM1,000 setiap seorang. Jumlah itu amat lumayan pada zaman tersebut,” kata Mat Gil.

Beliau memberitahu, industri muzik Kelantan bertambah rancak apabila album artis tempatan mula diterbitkan dalam bentuk cakera padat (CD) dan video cakera padat (VCD) sekitar 1990-an.

Katanya, evolusi medium mu­zik yang tercetus itu menyebabkan persembahan pendikir di tempat terbuka semakin kurang mendapat sam­butan se­kali gus memaksa mereka berlumba-lumba menerbitkan CD dan VCD ma­sing-masing.