Boy PJ atau nama sebenarnya Norazman Samsuddin berkata, lirik dan lagu bersifat satira isu semasa tersebut adalah ciptaan beliau sendiri dengan rakaman studio dan susunan muzik dilakukan oleh Cikgu Shaimie dari Teluk Intan, Perak.

“Saya merakam lagu Jom Balik selama dua hari. Lagu ini sudah mendapat kelulusan Unit Rakam Khanah Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 15 Februari lalu.

“Kini lagu ini kerap berkumandang di radio Perak FM dan Nasional FM dan mendapat sambutan menggalakkan. Sambutan amat menggalakkan kerana isu yang dipaparkan seperti masalah pekebun kelapa sawit dan masalah sosial merupakan isu semasa yang hangat hari ini,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Mengulas mengenai lagu tersebut, Boy PJ berkata, pemilihan judul Jom Balik adalah kerana ia merupakan frasa biasa kehidupan masyarakat pada hari ini.

Ujarnya lagi, sebagai contoh, jika anak-anak leka bermain, orang tuanya akan panggil ‘jom balik’ begitu juga isteri yang leka membeli belah apabila suami lama tunggu dalam kereta, dia akan WhatsApp isteri dengan ayat ‘jom balik’.

“Cakera padat sudah mula dijual edisi terhad. Sesiapa berminat boleh pesan menerusi WhatsApp di talian 012-5374228.

“Harga hanya RM20 termasuk kos pos laju,” katanya.

Katanya lagi, selain terus berkarya di majalah Gila-Gila, beliau aktif menghasilkan lukisan karikatur sepenuh masa di bandar kelahirannya di Teluk Intan. - UTUSAN ONLINE